Monday, December 1, 2008

Jangan bawak anak-anak kecil ke pasar raya

Berkunjung ke pasar raya besar sudah menjadi satu kemestian buat semua orang di Malaysia kini. Paling tidak, dalam sebulan mesti ada sekali pergi ke sana. Itu pun paling minimum. Contoh pasar raya besar di Malaysia ialah seperti Giant, Carrefour, dan Tesco.

Jika kini anda sentiasa membawa anak-anak kecil anda bersama ketika ke sana, inilah masanya untuk mengubah tabiat itu. Anda yang mempunyai anak kecil tentunya tahu sangat mengapa saya berkata begini.

Dengan membawa anak-anak kecil ini, mereka begitu mudah terpengaruh dan terdorong untuk membeli barang mainan, beg dengan watak kegemaran mereka dan apa jua yang mereka inginkan. Jika ditinggalkan mereka di rumah, sudah pastilah mereka tidak merengek nak itu dan ini. Dalam erti kata yang lain, jika anda tidak membelikannya untuk mereka, mereka masih gembira denga permainan yang sedia ada di rumah.

Saya pernah berkunjung ke pasar raya giant bersama kakak dan anaknya. Kakak saya ni memang dah sedia maklum bahawa satu bahagian di pasar raya tersebut yang perlu dielakkan adalah seksyen permainan. Namun apa kan daya, kerana terlepas pandang sekejapnya, anak kecilnya itu telah berjaya menemui bahagian tersebut(yang sangat banyak permainan !).

Apa lagi, anaknya pun mengambil set permainan yang digemarinya. Soal harga tiada dalam pertimbangan mereka. Ya la, umur 4 tahun manalah reti nak tengok harga. Memanglah kakak saya cuba untuk menolak permintaan anaknya? Oleh itu, anak kecilnya itu beralih ke "pelan b". dia mula merengek, menangis dan menjerit sekuat hati. Apabila jeritan anaknya boleh didengari oleh semua orang di pasar raya tersebut, anda pun dapat jangkakan adakah kakak saya membeli atau pun tidak mainan tersebut bukan?

Ya. Kakak saya tewas buat kesekian kalinya di tangan anak kecilnya :) . Anaknya telah berjaya mendapat satu set permainan yang mengandungi pistol, peluru, topeng dan gari pada malam tersebut. Harganya adalah dalam lingkungan RM30.

Oleh itu, jika anda ingin membawa anak-anak bersama ketika pergi ke pasar raya besar ketika hendak membeli keperluan dapur misalnya, fikirkan semula. Bawalah mereka jika benar-benar perlu dan dalam keadaan terdesak sahaja seperti memang tiada orang yang boleh menjaga mereka di rumah.

ps: Oh ya. Bila di pasar raya pun kita kenalah jaga anak dengan teliti juga okey? Jangan asyik sibuk memilih barang dan membiarkan anak anda hilang dari pandangan walaupun seketika. Jika kita berjalan di luar sana sebagai seorang penculik, sememangnya sangat ramai kanak-kanak yang dengan mudah boleh menjadi mangsa kita.

No comments: