kisah 1
Saya ketika itu sedang menaiki tangga untuk bergerak ke menara TM daripada stesen LRT. Saya kemudiannya dipanggil oleh seorang lelaki daripada belakang. Beliau mengadu bahawa rantainya terputus dan menunjukkan motornya di seberang jalan. Tangannya penuh dengan minyak.
Beliau mengatakan dompetnya berada di dalam sebuah van dan van tersebut telah dibawa pergi oleh seorang lain. Beliau memaki-maki orang tersebut untuk meyakinkan bahawa itu bukanlah kesilapan dirinya meninggalkan dompet tersebut. Telefon bimbitnya pula kehabisan bateri.
Beliau berulang-ulang kali mengatakan, adik, setakat RM50 tu abang boleh gantilah. Adik bagi RM30 pun abang boleh ganti RM50. Beliau juga cuba mendapatkan simpati dan cuba membuat saya rasa bersalah jika tidak membantunya. Akhirnya, saya tewas dan memberikan KESEMUA duit yang saya ada pada ketika itu walaupun tidak sampai RM50.
Ketika berjumpa dengan abang saya di Menara TM, abang saya dengan yakinnya mengatakan saya telah ditipu. Tapi hati kecil saya sangat yakin bahawa beliau akan menghubungi saya kembali. Ternyata telahan saya salah.
Setelah direnung kembali, saya baru perasan beberapa perkara yang mencurigakan ketika kejadian tersebut iaitu :
- Ketika saya mengatkan bahawa saya ingin berjumpa dengan abang saya di atas ( lagi beberapa meter sahaja jaraknya), dia enggan untuk ikut sama atau tunggu di situ. Saya sudah katakan kepadanya bahawa saya tidak mempunyai duit yang mencukupi tetapi abang saya sudah tentu ada. Nampaklah sebenarnya dia takut untuk berjumpa dengan abang saya yang mungkin jauh lebih sukar ditipunya (ketika itu saya baru belasan tahun).
- Ketika saya cuba bergerak pergi daripadanya, dia ada melihatkan gaya cuba memaksa saya berhenti dan memberikan duit kepadanya.
- Beliau nyaris-nyaris memberikan telefonnya kepada saya untuk menuliskan no telefon yang perlu dihubungi ketika ingin memulangkan duit. (Pada mulanya, dia mengatakan telefonnya kehabisan bateri).
- Gaya dan raut wajahnya ketika saya sedang mengeluarkan duit daripada tempat saya mengyimpan duit begitu jelas dia mempunyai niat jahat. Beliau dengan begitu bersungguh-sungguh memastikans saya memberikan KESEMUA duit yang saya ada ketika itu.
Kisah 2
Ini kisah yang baru saya alami. Sememangnya saya tidak cukup belajar walaupun daripada pengalaman sendiri. Jarak antara dua kisah yang berkaitan saya ini agak jauh. Kira-kira 5 tahun.
Kisahnya begini, saya sedang menunggu kawan saya dan duduk di atas motorsikal. Saya kemudiannya disapa oleh seorang lelaki dan meminta saya meminjamkan duit kepadanya untuk dia memperbaiki motorsikalnya. Saya pun dah lupa secara spesifik apa yang rosak dengan motornya. Maklumlah, saya tidak pakar bab-bab motorsikal ni.
Walaupun motorsikalnya "rosak", tetapi motorsikal tersebut masih dapat bergerak. Saya pula ketika itu baru sahaja mempunyai duit yang agak banyak. (Melebihi RM50). Saya akhirnya memberikan juga RM50 kepadanya seperti diminta kerana :
- Beliau memberikan saya IC beliau kepada saya. (Tidak silap saya, saya sebenarnya boleh didakwa kerana menyimpan IC beliau). Bagi saya, itu adalah jaminan yang paling kuat yang saya miliki ketika itu.
- Beliau menulis sedikit perjanjian berkenaan pinjaman tersebut di atas sehelai kertas. (Kononnya boleh dijadikan bukti oleh saya jika perkara ini dilaporkan kepada polis)
- Beliau memberikan telefon bimbitnya.
- Beliau menceritakan kisah-kisah yang menyentuh hati tentang kerjaya penghantar suratnya. Banyak surat yang ingin dihantar, jauh dan pelbagai lagi. Memang sangat menyentuh perasaan.
Kesudahannya, beliau memulangkan sebahagian kecil daripada wang tersebut. Itu pun kerana saya memegang IC nya. Ketika ini baru ada unsur-unsur desakan olehnya bagi memulangkan IC nya. Alasannya untuk mendapatkan kembali IC tersebut adalah kerana beliau ingin keluarkan wang daripada Tabung Haji. Itulah pertemuan kedua dan terakhir saya dengannya.
Saya kemudiannya bertanyakan beberapa orang termasuklah peguam tentang langkah yang boleh saya lakukan. Memang saya boleh melaporkan kepada polis, tapi prosesnya kemudian akan menyusahkan saya juga. Turun naik mahkamah dan sebagainya.
Malah, jika ada dokumen perjanjian bernilai RM5,000 misalnya sekali pun, belum tentu berbaloi untuk kita membawakan kes tersebut ke mahkamah. Kerana kita hampir pasti mengalami kerugian juga akhirnya.
Saya ada banyak lagi kisah bagaimana orang-orang yang terdekat dengan saya turut mengalami penipuan seperti di atas malah dalam jumlah yang jauh lebih tinggi. Mereka memberikan cek tendang dan pelbagai helah licik yang lain.
Satu sahaja pesan saya, jauhilah orang-orang seperti di atas dan jika perlu memberikan kerana dipaksa, cubalah jangan berikan semua wang anda anda. Berilah seminimum mungkin. Berhati-haitlah juga ketika memilih tempat yang anda akan lalui dan cuba elakkan daripada jalan berseoarangan.
No comments:
Post a Comment